Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul
"Suamiku,
aku mencintaimu kerana agamamu.
Jika hilang agamamu,
hilanglah cintaku padamu."
(Adaptasi kata-kata Imam Al-Nawawi)
Qani'ah membaca kisah Aisyah r.h.a yang menceritakan peribadi kekasihnya, Rasulullah SAW. Sungguh hebat percintaan mereka. Qani'ah kagum. Tidak hairanlah Rasulullah SAW apabila ditanya tentang wanita yang paling dicintai, Baginda menjawab, Aisyah r.h.a. Rasulullah SAW juga dicintai oleh semua isteri-isterinya yang lain kerana keadilan baginda memberi hak kesemua mereka. Perkahwinanyang ditegakkan atas dasar takwa, bukannya nafsu semata-mata membuahkan keharmonian dan kebahagiaan berkekalan.
Sabda rasulullah SAW bermaksud : "sebaik-baik kamu ialah orang yang berbuat baik terhadap isterinya."
Qani'ah bersyukur mempunyai suami yang sering meneladani Rasulullah SAW dalam peribadinya. Dia amat mencintai suaminya itu. Jika Aisyah menghargai suaminya dengan menceritakan kebaikan suaminya, Qani'ah juga ingin berbuat sesuatu sebagai penghargaan terhadap terhadap suami tercinta. Dia mencatat bingkisan tentang suaminya, Dr. Muslih. Mudah-mudahan, ia boleh menjadi contoh yang baik kepada semua para pengemudi bahtera rumah tangga. Qani'ah sedar, sedalam mana pun cintanya terhadap suami tetap tidak boleh mengatasi cinta kepada Allah Rasulnya. Rasulullah sendiri berpesan yang bermaksud:
"Cintailah orang yang kamu cinta sewajarnya kerana boleh jadi suatu hari kelak dia menjadi musuhnya. Dan bencilah musuhmu dengan sewajarnya, kerana boleh jadi suatu hari kelak dia akan menjadi orang yang kamu cintai."
maksud sabda baginda lagi :
"masih belum sempurna iman seseorang daripada kalian sebelum diriku lebih dicintai olehnya daripada hartanya, anaknya, dan seluruh manusia."
Rasulullah menunjukkan contoh suami terbaik dalam sebuah rumah tangga. Baginda mencintai isterinya dan sentiasa menghiburkan mereka dengan peribadi mulia. Menghidupkan sebuah keluarga bahagia merupakan sebahagian ajarannya dan cara mencintainya pula ialah dengan mengamalkan ajaran baginda itu.
Atas asas itulah, Qani'ah berusaha sehabis daya mencintai dan membahagiakan suaminya. Tiada apa yang dipinta melainkan agar Allah reda dengannya.

#Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul (Fatimah Syarha Mohd Noordin)#
~Tiada cinta sebelum kahwin~
"Tiada rahsia untukku terus gagah berdiri, menepis
dugaan cinta lelaki, melainkan pada sebuah prinsip
yang meratai diri"
Cinta yang datang bertandang di lubuk hati itu fitrah. Namun, apabila ia disusuli tindak tanduk yang tidak Allah redhai, ia akan bertukar menjadi fitnah. Allah swt memahami fitrah ini dengan mensyariatkan perkahwinan. Justeru, untuk apa aku menikmati cinta sebelum perkahwinan? Bimbang ia jadi tawar dan hambar. Hilang barakah, hilanglah kemanisan. Aku menguatkan prinsip diri dengan sebuah hadis :
maksudnya : "sesiapa yang jatuh cinta, kemudian menyembunyikannya hingga kematian datang menjemputnya, maka dia adalah seorang yang syahid." (Riwayat Hakim, Ibn Asakir,Al Dailami & lain2)
Dalam riwayat lain pula maksudnya :
"sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia memelihara kesucian dirinya dan bersabar hingga meninggal dunia, maka dia adalah seorang yang syahid."
Aku nekad, selagi belum bersedia untuk bergelar isteri takkan sekali-kali kuserahkan hati ini kepada seorang lelaki. Biarlah cintaku kudus terpelihara hanya untuk insan bernama suami. ini tekadku.
Aku tidak mahu terjebak dalam kancah cinta palsu. Saranan doa ajaran Rasulullah saw kuabadikan dalam sujudku :
maksudnya : "Ya tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa."
BAHAYA CINTA SEBELUM KAHWIN
- Pasti kelak diriku ibarat lembu yang ditarik hidung oleh nafsu.
- Menyibukkan hati merindui makhluk yang tidak halal bagiku seumpama membuka pintu bagi syaitan menjalankan jarumnya untuk melupakanku daripadaNya.
- Hati akan terseksa dengan barah rindu.
- Rindu palsu akan membelenggu minda hingga ia terjajah dan terhina di bawah jajahan syaitan.
- Cinta lalai akan menyebabkanku alpa daripada mempersiapkan diri untuk keperluan dunia dan akhirat.
- Aku boleh menjadi tak rasional berfikir jika benar-benar mabuk cinta.
- Fitnah cinta ibarat racun yang akan membunuh akal, jiwa dan perasaan.
- Jiwaku terganggu dalam nilai mana yang baik, mana yang buruk untuk diriku.
- Jika aku dan dia berjaya melangkah ke alam rumah tangga nescaya ia terbina asas dasar maksiat, yang mengundang padah kepada peribadi zuriat kami pastinya.
Nauzubillah!
TIPS MENEPIS CINTA REMAJA
- Tegas dengan prinsip diri.
- Meletakkan misi yang jelas dalam hidup.
- Bersahabat dengan rakan-rakan sejantina yang soleh.
- Mengekang hawa nafsu.
- Mendekati majlis ilmu.
- Menyibukkan diri dengan hobi dan minat berfaedah.
- Akrab dengan Allah dalam ibadah dan kehidupan.
#Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul (Fatimah Syarha Mohd Noordin)#




No comments:
Post a Comment